Di dalam Al-Quran banyak
mengandungi cerita dan sejarah. Dalam beberapa surah bahkan bentuk
cerita lebih dominan dibanding yang lainnya, sebut saja surah Yusuf,
Al-Qoshos, Hud dan lain-lain. Bila kita lebih meneliti dan mengkaji
lebih dalam ternyata cerita dan sejarah dalam Al-Quran banyak berputar
pada sejarah dan kehidupan Nabi Musa as.
Kisah Nabi Musa as tidak
hanya terdapat dalam satu surah namun bertebaran dan diulang-ulang di
beberapa surah lain. Imam Zarkasyi dalam kitabnya Al-Burhan fi ulum
al-Quran menukil perkataan sebahagian ulama yang menyatakan bahawa kisah
Nabi Musa dalam al-Quran terdapat dalam seratus dua puluh tempat.
Apa rahsia di sebalik
ini semua? Mengapa cerita Nabi Musa lebih banyak dibanding cerita
nabi-nabi atau rasul yang lain? Pengarang kitab Al-fann Al-Qoshoshi (Dr.
Kholifullah) berhujah bahawa Yahudi dulu menguasai persekitaran Arab
dari segi pemikiran agama, dengan kekuasaan inilah mereka banyak
menceritakan sejarah Nabi Musa dan Firaun. Dari sini juga akhirnya
keperibadian Nabi Musa lebih banyak disebutkan dalam Al-Quran dibanding
dengan keperibadian Nabi Ayub atau nabi-nabi lain.
Namun pendapat ini
ditolak oleh Dr. Muhammad al-Bahi. Dalam bukunya Sikologia al-Qishoh
beliau menyatakan bahawa kehidupan agama bangsa Arab sebelum Islam
berbeza-beza dan berkelompok. Sebahagian orang Yaman menyembah matahari,
orang Mesir kuno menyembah bulan, sebahagian mereka atheis,
sebahagiannya Yahudi dan selebihnya masih dalam ajaran yang lurus
mengikuti datuk moyangnya terdahulu.
Dr. Abdurrahman Uwais
(Dosen Tafsir Fakulti Ushuludin Universiti Al-Azhar Kaherah) akhirnya
memberikan hujahnya yang menyatakan bahawa pengulangan kisah Nabi Musa
yang lebih banyak dari yang lain dalam al-Quran kerana banyak persamaan
antara Nabi Musa dan Nabi Muhammad dalam keadaan dakwah mereka. Kaum
Musa menjadi hina dan rendah kerana selalu menjadi budak Firaun hingga
rosaklah peribadian mereka yang akhirnya berkesudahan dengan penolakan
kebenaran yang datang pada mereka.
Hal yang terjadi pada
Nabi Musa ini juga terjadi dan sama dengan apa yang dilakukan oleh para
pembesar Quraisy terhadap Nabi Muhammad. Kedua nabi ini memang mendapat
misi untuk membentuk umat yang besar serta dianugerahkan syariat agama
dan dunia namun dakwah Nabi Muhammad lebih berbeza kerana Rasulullah
mempunyai keistemewaan dengan menyeluruh dan keabadiannya hingga akhir
kiamat.
Sisi kesamaan lain
adalah mereka sama-sama berusaha keras untuk meruntuhkan kerusi
diktator, kemusyrikan dan kezaliman. Bani Israil tunduk dibawah hukum
penguasa yang zalim hingga mereka tidak mempunyai kekuasaan apapun dalam
diri mereka, sedangkan bangsa Arab berada di bawah kekuasaan suku-suku
dan fanatisme golongan hingga kaum lemah selalu tunduk dan patuh pada
kaum yang lebih kuat.
Kita juga melihat bahawa
mereka (Nabi Musa dan Nabi Muhammad) selalu dibayangi konspirasi para
penguasa. Banyak cara untuk melenyapkan dan menyingkirkan mereka dari
segi penyiksaan, penghinaan hingga pembunuhan. Ternyata persamaan ini
tidak hanya terbatas pada kedua nabi besar ini namun juga menimpa kepada
para pengikut mereka dimana mereka rela dan bersabar walaupun ditimpa
berbagai ujian, cubaan dan seksaan.
Walau demikian namun
semua ini tidak menjadikan mereka gentar bahkan membuat iman mereka
semakin tebal dan kukuh. Hal ini sangat jelas dilihat pada saat para
penyihir yang sudah bertaubat dan sedar akan kebenaran Nabi Musa hingga
mereka rela menerima ancaman dan seksaan yang diperintahkan oleh Firaun.
Senada dengan itu para sahabat Nabi Muhammad selalu setia berjuang,
berkorban hingga titisan darah terakhir untuk selalu berada dalam panji
Islam dan cahaya Rasul.
Allah selalu menaruh
hikmah di sebalik seluruh perbuatan-Nya dan tidak akan pernah membuat
suatu hal dengan sia-sia. Oleh kerana itu maka tulisan yang disarikan
dari kitab Qishotu ash-Shuraa 'baina ad-Dai'iyah wa ath-Thogiyah Musa wa
Fir'aun fi Dhaui ayat al-Quran al-Karim ini sebenarnya tidak bertujuan
untuk menghuraikan cerita Nabi Musa secara terperinci namun ia hanya
berusaha mengambil beberapa pelajaran, hikmah dan 'ibrah yang
mudah-mudahan dapat bermanfaat untuk kita bersama.
Saat Kelahiran
Masa menjelang kelahiran
nabi menaruh pelajaran yang sangat berharga bagi kita dimana kekuasaan
dan usaha yang dilakukan manusia tidaklah bermakna apa-apa jika Allah
berkehendak yang lain. Kita dapat mellihat dimana keangkuhan Firaun dan
bala tenteranya membunuh bayi lelaki yang lahir dari Bani Israil, kerana
firaun berspekulasi bahawa pada masa akan datang seorang keturunan dari
bani Israil akan menghancurkan kekuasaannya. Namun selamatnya Nabi Musa
bahkan hidup di istana Firaun membuktikan kelemahan manusia di hadapan
Allah.
Ketika mencari bayi Nabi
Musa isteri Firaun (Asiah) berhasrat untuk dijadikan anak angkat dengan
harapan agar dia dapat menjadi peneduh hati dan penyejuk pandangan
kedua-dua pasangan yang tidak dikurniakan keturunan ini. Namun apalah
daya, ternyata ia berbalik menjadi "bumerang" kepada Firaun. Maka benar
lah sebuah ungkapan Arab bahawa balasan itu sesuai apa yang ia lakukan
(al-jaza min jinsi al-'amal).
Masa muda Nabi Musa
Pada masa ini Nabi Musa
mendapati dua orang sedang bertengkar, beliau memilih untuk memukul
orang asing demi menolong pemuda yang berasal dari kaumnya hingga
membuat beliau hijrah ke Madyan. Dari sini kita dapat mengambil
pelajaran bahawa apa yang Allah kehendaki itu pasti lebih baik walau
secara zahir dilihat kurang baik.
Salah satu hikmah dari
hijrahnya Nabi Musa berupa sebuah pendidikan dan persiapan kepada para
juru dakwah agar dapat hidup di dunia yang masih murni dan suci jauh
dari suasana istana dan kemegahan serta konspirasi dan fitnah di
dalamnya dan agar mereka tetap bergantung pada Allah di mana-mana mereka
tinggal .
Dalam sesi ini ada
beberapa kesamaan antara kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf. Diantarnya
adalah mereka diasingkan dari asuhan dan kasih sayang orang tua namun
apa yang terjadi pada Nabi Musa lebih menggambarkan peranan si ibu
sedangkan kisah Nabi Yusuf lebih menekankan pada peranan ayah. Keduanya
juga membesar di zaman kekufuran, kezaliman dan kerosakan berleluasa
sehingga akhirnya Allah menjaga mereka dengan cara mengasingkannya agar
tidak bercampur baur dengan keadaan ini.
Kedua nabi ini juga
menggambarkan peranan para wanita. Bezanya wanita yang ada pada kisah
Nabi Yusuf berbanding dengan yang ada pada kisah Nabi Musa. Wanita pada
cerita Nabi Yusuf (isteri penguasa Mesir yang cuba menggoda Nabi Yusuf)
lebih cenderung sebagai penguji dan cubaan (mihnah) ada pun wanita yang
terdapat dalam kisah Nabi Musa (baik ibu, saudara perempuannya, isteri
Firaun hingga isteri Nabi Musa) lebih cenderung membawa angin positif,
anugerah dan rahmat dari Allah (mihnah).
Ketika di Madyan Nabi
Musa bertemu dengan dua orang wanita yang sedang beratur untuk mengambil
air. Setelah dibantu Nabi Musa salah seorang wanita tadi kembali dan
memanggil Nabi Musa dan memberitau bahawa ayah mereka ingin bertemu
dengannya dimana nantinya salah seorang di antara mereka akan dijadikan
isteri Nabi Musa.
Kita banyak mendapat
pelajaran dari kisah kedua wanita ini diantaranya wanita sebaiknya tidak
keluar seorang diri walau hal itu sebenarnya dapat dilakukan, keluarnya
kedua wanita tadi bukan sekadar untuk sesuka hati namun untuk memenuhi
keperluan penting keluarga. Ketika wanita keluar rumah hendak lah selalu
beradab dan sopan tidak berlenggang-lenggok dan mata yang menggoda.
Keluarnya wanita harus disesuaikan dengan keperluan saja dan ketika dia
sudah selesai melaksanakan keperluannya sepatutnya dia segera pulang.
Diangkat menjadi Nabi
Setelah berhijrah ke Madyan dan berjaya berkahwin dengan salah seorang puteri iaitu Siti Safurah anak kepada Nabi
Syu'aib beliau pergi menuju ke Mesir. Di tengah-tengah perjalanan iaitu
di bukit Tursina beliau diangkat menjadi nabi dengan diberikan beberapa
mukjizat seperti tongkat "ajaib" dan tangan yang boleh bersinar. Dari
sana juga beliau diberi gelaran kalimullah (orang yang dapat berdialog
dengan Allah).
Namun ketika beliau
diperintahkan untuk menyampaikan dakwah ternyata menyelinap sedikit rasa
takut untuk memikul beban dan tugas ini. Hal ini berdasarkan oleh
beberapa alasan diantaranya Firaun terkenal dengan kezaliman,
kemungkaran dan pengakuannya sebagai tuhan. Selain itu Nabi Musa juga
merasa melakukan kesalahan ketika membunuh seorang pemuda hingga
memaksanya berhijrah ke Madyan. Perasaan raasa bersalah inilah yang
menimbulkan rasa takut dalam diri beliau.
Namun Allah menjanjikan keselamatan dan mereda rasa takut kepada utusan-Nya ini dengan firman-Nya; "Wahai Musa! Kemarilah dan jangan takut. Sesungguuhnya engkau termasuk orang yang aman. "(QS. Al-Qashash [28]: 31).
Dari sini para juru da'i dapat mengambil pelajaran bahawa selama ia
merasa yakin dalam kebenaran maka janganlah merasa takut ketika ia harus
menghadapi lawan yang zalim walau berdiri seorang diri kerana Allah
selalu bersamanya.
Tenggelamnya Bani Israel
Allah juga menunda azab
kepada para hamba-Nya yang ingkar namun bila sudah tiba waktunya tidak
ada yang dapat menghindarinya. Dari sinilah kita diperintahkan untuk
menyegerakan taubat kerana ia tidak dapat diterima ketika roh mencapai
tekak atau yang mati dalam keadaan kafir sebagaimana terdapat dalam surah an-Nisa ayat 18; "Dan
taubat itu tidaklah (diterima Allah) dari mereka yang melakukan
kejahatan hingga apabila datang ajal kepada seseorang diantara mereka
(barulah) dia mengatakan, saya benar-benar bertaubat sekarang. Dan tidak
(pula diterima) dari orang-orang yang meninggal sedang mereka di dalam
kekafiran. Bagi orang-orang itu kami sediakan azab yang pedih. "
Jasad Firaun sehingga kini masih ada di Muzium Kaherah berdekatan dengan Bulatan Tahrir. Hal ini sesuai dengan janji Allah, "Maka pada hari ini Kami selamatkan ragamu agar engkau dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang setelahmu" (Yunus [10]: 92).
Hikmah
1. Dari sini kita
dapat mengambil beberapa hikmah diantaranya bahwa siapa saja yang
berbuat seperti yang dilakukan Firaun akan mendapat balasan yang sama
dengannya khususnya bagi mereka yang berani mengaku menjadi tuhan.
Jasadnya diabadikan hingga lautpun tak sudi menerima jasad makhluk kotor
ini.
2. Hikmah lainnya
adalah agar para pengikut Firaun ini tidak boleh membuat mitos-mitos
dan keterangan palsu seperti Firaun sudah diangkat ke langit dan sudah
berada di tempatnya dengan tenang. Mudah-mudah kisah ini semua dapat
menjadi ibrah (yang mendatangkan iktibar) dan manfaat bagi kita semua.
Diterjemahkan dari sumber fiqhislam.com