Soalan
Assalamualaikum. Saya
baru menimang cahayamata pertama. Bayi saya berumur dua bulan dikenal
pasti oleh pihak hospital mengalami masalah jantung berlubang.
Lubang itu hanya 2 mm di
antara dinding kanan dan kiri di bahagian bawah jantung. Setiap kali
menangis, kuku jari kaki anak saya menjadi biru.
Pihak hospital
mencadangkan pembedahan. Saya ingin bertanya bolehkah saya mencuba
rawatan al-Quran untuk menyembuhkan penyakit anak saya ini? Terima
kasih.
n Azhari Shaari
Jawapan
Untuk kita memahami
masalah penyakit jantung berlubang, biarlah saya terangkan secara umum
berkenaan jantung iaitu organ berotot yang mengepam darah ke seluruh
badan. Ia dibahagikan kepada empat ruang berongga.
Terdapat dinding yang
memisahkan antara ruang kanan dan kiri dipanggil septum. Setiap bahagian
mempunyai dua ruang dikenali atrium bahagian atas dan dua ruang
ventrikel di bahagian bawah.
Dinding septum
mengasingkan darah dari bahagian kanan dan kiri jantung daripada
bercampur. Ini penting kerana darah di sebelah kiri kaya oksigen
sementara darah di ruang sebelah kanan pula kurang oksigen.
Jika terdapat lubang
pada dinding septum, darah akan bercampur sebelum dihantar ke badan
menyebabkannya mempunyai oksigen kurang dan boleh mendatangkan pelbagai
masalah kesihatan.
Bayi Azhari mungkin
mengalami penyakit jantung berlubang (Ventricular Septal Defect – VSD)
atau secara amnya CHD (Congenital Heart Disease). Masalah ini berlaku
apabila terdapat lubang atau kecacatan pada struktur jantung iaitu pada
dinding dalaman jantung.
Banyak jenis kerosakan
jantung berlaku sama ada menghalang aliran darah dalam jantung atau
menyebabkan darah mengalir dalam jantung pada arah yang berlawanan.
Antara kecacatan pada organ jantung yang mungkin boleh berlaku:
* Kecacatan atau lubang pada dinding jantung.
* Injap jantung bocor atau tersumbat.
* Terdapat hanya satu ventrikel.
* Salur darah bersambung secara abnormal.
* Jantung terletak di bahagian kanan dada.
Jenis penyakit jantung berlubang
Secara umumnya, penyakit jantung berlubang terbahagi kepada dua jenis iaitu VSD dan ASD:
ASD (Atrial Septal Defect)
Apabila terdapat lubang
antara atrium, oksigen dari bahagian kiri jantung masuk semula ke
bahagian kanan. Oleh itu bilik jantung bahagian kanan terpaksa mengepam
dengan lebih kuat mengakibatkannya bengkak. Akibatnya, tekanan meningkat
dan merosakkan paru-paru. Ia juga dikenali sebagai sakit jantung tidak
biru (acyanostic congenital heart diseases).
VSD (Ventricular Septal Defect)
Dikenali juga sebagai
sakit jantung biru (cynostic congenital heart disease). Biasanya berlaku
di kalangan bayi apabila terdapat lubang pada dinding (septum) bahagian
bawah yang menyebabkan darah mengandungi oksigen dari bahagian kiri
masuk ke bahagian kanan. Darah yang berlebihan ini kemudiannya dipam
semula ke dalam paru-paru yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan
jantung itu sendiri.
Punca-punca
Dunia perubatan moden
masih tidak tahu mengapa kecacatan jantung kongenital boleh berlaku.
Keturunan mungkin memainkan peranan dalam beberapa kecacatan jantung.
Sebagai contoh, ibu bapa
yang mempunyai kecacatan jantung kongenital lebih berisiko mempunyai
anak dengan masalah ini. Selain itu, kanak-kanak dengan kecacatan
genetik sering mempunyai kecacatan jantung kongenital. Contohnya separuh
daripada bayi dengan sindrom Down mempunyai kecacatan jantung
kongenital. Pengalaman Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat anak-anak
yang menghidap penyakit jantung berlubang mendapati terdapat elemen
gangguan makhluk halus terutamanya saka yang boleh menyebabkan masalah
genetik. Makhluk halus ini kadang-kala boleh menjejaskan sel badan
pesakit.
Tanda-tanda awal penyakit jantung berlubang
Kebanyakan kes
melibatkan kanak-kanak dapat dikesan sejurus lahir tetapi ada yang tidak
menunjukkan sebarang tanda. Ini bergantung pada saiz lubang. Semakin
besar lubang maka tanda-tanda akan lebih jelas. Antara gejala:
* Pernafasan dan pergerakan
nadi yang laju.
* Berat badan yang tidak bertambah dan
tidak sihat seperti kanak-kanak lain.
* Kelainan pada degupan jantung atau
denyutan jantung yang laju.
* Tidak boleh menyusu, banyak berpeluh
dan bernafas kencang.
* Keletihan melampau atau bernafas
kencang semasa makan/menyusu.
* Lebam-lebam biru pada kulit (sianosis).
Biasanya lubang-lubang
kecil dan sederhana akan tertutup dengan sendirinya, namun ada juga kes
kecacatan ringan yang tidak menyebabkan masalah dan sebarang tanda
sehinggalah di kemudian hari.
Bagi orang dewasa yang
rasa berdebar-debar iaitu degupan jantung menjadi kuat atau cepat tanpa
sebab bukan kerana takut, penat, marah atau sebagainya, maka segeralah
berjumpa dengan doktor.
Jika pemeriksaan
hospital mendapati jantung anda sihat maka segeralah datang ke Pusat
Rawatan Islam Al-Hidayah kerana mungkin ada gangguan makhluk halus yang
simptomnya hampir sama dengan masalah jantung berlubang.
Rawatan moden
Sesetengah kecacatan
jantung adalah serius dan memerlukan rawatan segera selepas dikenal
pasti. Bergantung kepada jenis kecacatan jantung, rawatan hospital boleh
dibuat dengan:
* Prosedur menggunakan
kateter. Kecacatan jantung kongenital diperbaiki menggunakan teknik
catheterization, yang membolehkan pembaikan dilakukan tanpa pembedahan
membuka dada dan jantung.
* Pembedahan terbuka
jantung. Dalam beberapa kes, doktor tidak dapat menetapkan kecacatan
jantung anak anda menggunakan prosedur kateter. Dalam kes ini, doktor
akan melakukan pembedahan terbuka untuk mencuba membaiki kecacatan
jantung anak anda. Ini adalah prosedur perubatan utama dan mungkin
memerlukan masa pemulihan yang panjang untuk anak anda.
* Pemindahan jantung. Jika kecacatan jantung serius dan tidak boleh dibaiki, pemindahan jantung mungkin menjadi pilihan.
* Ubat-ubatan.
Sesetengah kecacatan kongenital jantung ringan di usia kanak-kanak atau
dewasa, boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang membantu jantung bekerja
lebih cekap.
Rawatan ayat Al-Quran
Menurut Islam, pertumbuhan janin itu ada sebahagian sempurna dan sebahagian tidak sempurna.
“..Kami telah jadikan
kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal
daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami
jelaskan kepada kamu...” (Surah Al-Haj: 5)
“Yang telah menciptakan
kamu lalu menyempurnakan kejadian-mu dan menjadikan susunan tubuhmu yang
seimbang Dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun
tubuhmu” (Surah Al-Infithaar: 7-8)
Segala sesuatu yang
terjadi pada kandungan si ibu adalah rahsia-Nya yang telah ditentukan.
Sebagai hamba kita tidak layak mempersoalkan kenapa segelintir manusia
itu dilahirkan sempurna sifat atau sebaliknya. Ciri-ciri keturunan di
dalam setiap sel kromosom juga adalah hak Allah untuk menentukannya.
Hikmahnya, setiap manusia berbeza-beza dari segi fizikal luaran. Sudah
tentu setiap pemasalahan ada penyelesaian.
Ayat-ayat berikut boleh diamalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.
Surah Al-Israa’ ayat 40 hingga 55.
Surah Hud ayat 24 hingga 37.
Surah Yunus ayat 35 hingga 47.
Surah An-Nahl ayat 51 hingga 64.
Surah Al-Maaidah ayat 48 hingga 55.
Surah As-Saffat ayat 22 hingga 47.
Baca surah Al-Isra’ tiga
kali pada waktu malam dan surah Hud tiga kali pada waktu siang. Amalkan
setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali,
mohon penyembuhan kepada Allah SWT. Selepas membaca dua surah pertama
tadi, ulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.
Lebih baik berjumpa
perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa
jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus. Janganlah berputus asa
dalam mencari ikhtiar untuk merawat penyakit jantung. Yakinlah bahawa
pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.
“Kami menurunkan dari Al Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman..” – (Al-Israa’, 17:82)
Yang penting, haruslah
yakin bahawa segala sesuatu itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah.
Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah penyakit jantung itu
sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa mula menguasai
perasaan kita, cepat-cepatlah ingat bahawa apa yang berlaku merupakan
suatu ujian daripada Allah SWT.
*Sumber dari al-bakriah.com.my